Loading...
Meeting

Hadis 2

Islam, Iman & Ihsan

Daripada Saiyidina Umar r.a. juga, beliau berkata: “Pada suatu hari ketika kami sedang bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih, rambutnya sangat hitam serta tidak kelihatan padanya kesan perjalanan jauh dan tiada seorang pun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk begitu hampir dengan baginda SAW, dia merapatkan kedua-dua lututnya dengan lutut baginda SAW dan meletakkan kedua-dua tapak tangannya di atas paha baginda SAW lalu berkata, “Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu ialah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Muhammad itu ialah utusan Allah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah sekiranya mampu sampai ke sana.” Dia berkata, “Kamu benar." Maka kami berasa hairan kerana dia yang bertanya kemudian dia pula yang membenarkan, jawapan itu. Dia bertanya lagi, “Khabarkan kepada tentang iman.” Baginda SAW bersabda, “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat dan beriman dengan takdir sama ada yang baik atau yang buruk.” Dia berkata, "Kamu benar.” Dia berkata lagi, “Khabarkan kepadaku tentang ihsan.” Baginda SAW bersabda, “Ihsan ialah kamu beribadah kepada Allah (dengan penuh tumpuan) seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak dapat merasakan seperti melihat-Nya maka sesungguhnya, Dia sentiasa melihat kamu.” Dia berkata, “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat.” Baginda SAW bersabda, “Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui berbanding yang bertanya.” Dia berkata, “Maka khabarkan kepadaku tentang tandanya. Baginda SAW bersabda, “(Antara tandanya) ialah seorang hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri dan kamu akan melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian (sempurna), berasal daripada golongan miskin serta bekerja sebagai penggembala kambing. Mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi (megah).” Kemudian lelaki itu beredar. Selang beberapa ketika baginda SAW bertanya kepadaku, “Wahai Umar, adakah kamu tahu siapa yang datang bertanya tempoh hari?” Aku menjawab, “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya dia ialah malaikat Jibril. Dia datang untuk mengajarkan kepada kamu mengenai urusan agama kamu.”

PENGHAYATAN
  • Murid perlu menyedari bahawa manusi merupakan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk.
  • Murid hendaklah mengelakkan diri daripada memandang hina terhadap orang yang melakukan kesalahan dan sentiasa mendoakan kebaikan untuknya.
  • Murid hendaklah bekerjasama sesama rakan secara harmoni dengan menghargai dan memanfaatkan kelebihan masing-masing.
  • Murid hendaklah sentiasa istiqamah melakukan kebaikan dan berdoa agar mendapat husnul khatimah.