Loading...
Meeting

Hadis 24

Keluasan Limpah Kurnia Allah SWT kepada hamba-Nya

Daripada Saiyidina Abu Zar al-Ghifari r.a bahawa Nabi meriwayatkan daripada Allah SWT. Dia berfirman: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman bagi diri-Ku dan Aku jadikannya haram antara kamu. Maka, janganlah kamu berlaku zalim sesama kamu. Wahai hamba-Ku, kamu berada dalam kesesatan melainkan orang yang Aku berikan kepadanya petunjuk. Oleh itu, mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya Aku akan berikan petunjuk kepada kamu. Wahai hamba-Ku, kamu berada dalam keadaan lapar melainkan orang yang Aku berikan makanan kepadanya. Maka, mintalah makanan daripada-Ku nescaya Aku akan berikan makanan kepada kamu. Wahai hamba-Ku, kamu tidak berpakaian melainkan orang yang Aku berikan pakaian kepadanya. Maka, mintalah pakaian daripada-Ku nescaya Aku akan berikan pakaian kepada kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku bersedia mengampuni kesemua dosa. Maka, mintalah keampunan-Ku nescaya Aku akan mengampuni kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi mudarat sehingga boleh memudaratkan-Ku, dan kamu juga tidak akan dapat memberi manfaat sehingga boleh memberi manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian menjadi orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu, keadaan itu sedikit pun tidak menambah (kemuliaan dan kehebatan) kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian menjadi orang yang paling derhaka dalam kalangan kamu, keadaan itu sedikit pun tidak mengurangkan (kemuliaan dan kehebatan) kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian berhimpun di satu dataran yang luas dan mereka memohon hajat masing-masing lalu Aku tunaikan setiap permintaan mereka, keadaan itu sedikit pun tidak akan mengurangkan khazanah-Ku melainkan seumpama celupan sebatang jarum ke dalam lautan sahaja. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya inilah amalan kamu. Aku catatkan kesemuanya untuk kamu, kemudian Aku akan sempurnakan untuk kamu balasannya (di akhirat). Maka, sesiapa yang mendapat kebaikan (pahala dan kehidupan yang baik) hendaklah dia memuji Allah SWT. Sesiapa yang mendapat selain itu (keburukan) janganlah dia salahkan melainkan dirinya sendiri.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

PENGHAYATAN
  • Murid perlu menjauhi perbuatan menzalimi diri sendiri seperti membuang masa dan meninggalkan solat.
  • Murid dilarang melakukan perbuatan menzalimi orang lain seperti buli, khianat, mencuri atau menyakiti hati rakan.
  • Murid hendaklah istiqamah berdoa dengan tekun terutamanya pada waktu mustajab doa seperti selepas solat. Amalan solat hajat juga perlu dibiasakan agar pergantungan kepada Allah SWT dapat dihayati sebaiknya.
  • Murid hendaklah meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah SWT untuk dimakbulkan segala hajat kerana kekayaan Allah SWT tidak akan susut walaupun seluruh hajat hamba diperkenan oleh-Nya.
  • Murid hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT walaupun ketika menerima ujian kerana sebalik ujian itu ada hikmahnya.