Loading...
Meeting

Hadis 29

Jalan ke Syurga

Daripada Saiyidina Mu‘az bin Jabal r.a berkata: “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, kamu telah bertanya tentang perkara yang amat besar. Namun, sebenarnya ia mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT. Kamu menyembah Allah Taala, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah.” Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah itu menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang yang didirikan pada tengah malam.” Kemudian Baginda SAW (menerangkan fadilat solat malam dengan) membaca ayat yang bermaksud: “Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh), mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut (akan kemurkaan-Nya) dan ingin memperoleh lagi (keredaan-Nya), dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka, tiada seorang pun yang mengetahui balasan yang disediakan yang telah dirahsiakan untuk mereka (tentang segala jenis nikmat) yang amat indah dan menggembirakan hati sebagai balasan bagi amalan soleh yang dilakukan oleh mereka.” (al-Sajdah: 16- 17). Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang asas bagi segala urusan (agama), tiangnya dan kemuncaknya?” Aku berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Baginda SAW bersabda, “Asas bagi segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.” Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang perkara teras bagi semua perkara ini?” Aku berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Lalu Baginda SAW memegang lidahnya yang mulia lantas bersabda, “Tahanlah lidahmu ini daripada membinasakanmu.” Aku berkata, “Wahai Nabi Allah, adakah kita pasti akan dihukum akibat perkara yang kita tuturkan?” Baginda SAW bersabda, “Bertuah kamu! Sebenarnya, hasil tuaian lidah manusia itulah yang banyak menghumbankan mereka ke dalam neraka dalam keadaan muka terlungkup.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.

PENGHAYATAN
  • Murid hendaklah sentiasa menjaga batas halal dan haram dalam pergaulan harian.
  • Murid hendaklah sentiasa menjaga iman dengan tidak mensyirikkan Allah SWT.
  • Murid hendaklah mengerjakan semua kewajipan dan amalan sunat.
  • Murid perlu menjauhi perkara yang melalaikan seperti berlebihan dengan permainan video dan media sosial.
  • Murid perlu membiasakan diri menggunakan bahasa yang sopan dalam percakapan dan penulisan.