Loading...
Meeting

Hadis 23

Ganjaran dan Hakikat Amalan Kebaikan

Daripada Saiyidina Abu Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy‘ari r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kesucian adalah sebahagian daripada iman. Ucapan ‘Alhamdulillah’ memenuhi timbangan (mizan). Ucapan ‘Subhanallah’ dan ‘Alhamdulillah’ memenuhi ruang di antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya. Sedekah adalah bukti (keimanan). Sabar adalah sinaran. Al-Quran adalah hujah yang membela atau menentang kamu. Setiap orang yang memulakan harinya (dengan berusaha seumpama) menjual jiwanya, sama ada dia membebaskannya atau membinasakannya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

PENGHAYATAN
  • Murid perlu menitikberatkan aspek kebersihan zahir dan batin seperti melazimi wuduk, sentiasa menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat.
  • Murid hendaklah istiqamah mengamalkan zikir yang ma'thur seperti zikir selepas solat, zikir waktu pagi, zikir waktu petang dan zikir harian.
  • Murid hendaklah melazimi solat pada awal waktu secara berjemaah dan mengamalkan solat sunat.
  • Murid hendaklah memupuk budaya bersedekah, seperti membelanja rakan yang susah dan miskin, mengisi tabung sedekah serta prihatin dengan rakan yang kurang bernasib baik.
  • Murid perlulah sabar dalam kehidupan seperti sabar dalam menuntut ilmu dan sabar daripada pengaruh negatif rakan serta media sosial
  • Murid hendaklah menjadikan al-Quran sebagai peneman hidup dengan membacanya setiap hari, memahami kandungannya serta mengamalkannya dalam kehidupan.
  • Murid perlu berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah SWT serta berdoa agar diselamatkan daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.